Search

Ibubapa dan Guru; Bagai Aur dengan Tebing

oleh : Hanifah Sazali

Antara ibubapa dan guru perlunya ada kerjasama yang baik. Kekadang ibubapa terlalu mengharapkan kepada guru. Dan ada kalanya, guru juga begitu meletakkan harapan kepada ibubapa untuk membimbing anak-anak.

Di sekolah, masa yang diperuntukkan untuk mengajar mata pelajaran yang telah ditetapkan, masa untuk mendidik seorang pelajar menjadi manusia tidak mungkin mencukupi. Guru amat mengharapkan pelajar mengulangkaji pelajaran di rumah. Tapi, mana mungkin pelajar darjah satu buat kerja sekolah, ulangkaji, tanpa disuruh. Ibubapa pula amat mengharapkan guru menegur, mendidik anak-anak mereka melakukan perkara-perkara yang baik dan berakhlak mulia.

Di sinilah perlunya kerja sama antara guru dan ibu bapa. Kalau ibubapa sentiasa sibuk, guru pula berkelakuan yang tidak boleh dijadikan contoh oleh pelajar, hasilnya, rosaklah generasi yang lahir.

Satu kisah yang berlaku ketika saya menjadi guru ganti di sebuah sekolah rendah beberapa tahun yang lepas. Dan saya pasti kisah ini sentiasa berlaku di kebanyakan sekolah. Ada ibu kepada seorang pelajar darjah satu datang mengadu anaknya sakit sebab dipukul oleh kawannya. Ketika itu guru tiada dalam kelas. Rakannya juga baru darjah satu. Apalah sangat kalau budak darjah satu pukul. Mungkin tak sampai luka dan cedera yang teruk. Kalau ada pun, sekadar sedikit lebam.

Dari satu aspek, saya salahkan guru yang sepatutnya berada dalam kelas, tapi tak jalankan amanah. Sepatutnya dia faham keadaan pelajar darjah satu yang mempunyai pelbagai perangai. Yang nakal tu, kekadang sampai takleh dikawal. Sekurang-kurangnya bila guru ada, guru boleh menghukum pihak yang bersalah dan memberi pengajaran. Tapi, bila guru takde, haa.. sape yang akan bertanggungjawab kalau berlaku perkara yang tak diingini?

Saya bersyukur, bilik guru saya ketika itu adalah kelas yang saya pegang. Sekurang-kurangnya, kalau kebetulan cikgu tidak masuk ke kelas saya, pada masa saya tidak mengajar, saya boleh tengok-tengokkan anak-anak murid saya.

Dari aspek lain, saya juga tak berapa setuju pada si ibu yang menyalahkan sepenuhnya kepada guru. Guru juga ada tugas lain selain mengajar. Guru seorang takkan mampu mengawal 30 orang murid dengan sebaik-baiknya. Kesakitan, kecederaan ringan bagi kanak-kanak yang sedang membesar adalah perkara normal. Saya faham perasaan seorang ibu yang tidak mahu anaknya cedera, lebih-lebih lagi diluar dari pemerhatiannya.

Namun, para ibu bapa perlu bersikap rasional dan pandai mengambil hati dan memujuk anak-anak sekiranya berlaku sesuatu yang menyakitkan anak-anak. Ibu bapa tidak boleh bertindak melulu menyerang guru tanpa membuat siasatan terlebih dahulu. Kemenangan yang berpanjangan bagi pihak anak mungkin akan menyebabkan anak-anak menjadi terlalu manja dan keinginan mereka sukar dikawal apabila menginjak usia remaja.

Apapun, ibu bapa dan guru perlu bekerjasama dan bukannya bertengkar menegakkan benang yang basah. Tidak menjadi satu kesalahan dan menjatuhkan maruah mana-mana pihak sekiranya salah satu pihak meminta maaf apabila melakukan kesilapan.

0 comments: